Sekitar awal 1990-an, Azman Adnan pernah dianggap sebagai jelmaan
Supermokh malah sehingga berjaya menggiurkan tiga pasukan Liga Semi Pro
seperti Selangor, Kedah dan Pahang.
Kuala Lumpur juga terpaksa meletakkan RM 1 juta sebagai yuran
perpindahan jika mana-mana pasukan mahukan khidmat anak bekas anggota
tentera kelahiran Kem Terendak, Melaka itu. Akhirnya, skuad ibu kota
yang mengasah bakat Azman dari tahun 1989 hingga 1992, tidak mampu lagi
membendung lagi pemergian pemain itu ke Selangor namun hanya dengan
beroleh yuran sekitar suku juta RM.
Penyerang yang menggemari jersi no 19 itu membalas pelaburan mahal skuad
Merah Kuning dengan menyumbangkan 147 gol dari tahun 1993 hingga 1998.
Tiga Piala Malaysia pada tahun 1995 hingga 1997, Piala FA 1997, Piala
Sultan Ahmad Syah 1996 dan 1997 serta gelaran Divisyen 2 1993 turut
dijulang Azman bersama Selangor.
Mengumpul 75 penampilan dengan skuad negara, Azman pasti tidak melupakan
dua daripada 49 gol di pentas antarabangsa yang membantu membenam Korea
Selatan 3-1 untuk bergelar juara Pestabola Merdeka edisi ke-34. Di
hadapan 30,000 penyokong di Stadium Merdeka, gol-gol pemain itu dalam
masa tambahan perlawanan akhir selepas jaringan pembukaan Dollah Salleh,
mengirim Korea Selatan pulang hampa sekaligus mengaut gajaran juara
sebanyak RM50.000.
Insiden "Disco Six" 1995 tiba-tiba mencalarkan reputasi Azman apabila
dia, Shamsurin Abdul Rahman, L.Suresh, Zami Mohd Noor, Assrof Hanafiah
dan Rizal Sukiman digantung antara enam bulan hingga setahun kerana
didapati meninggalkan kem latihan menjelang Pestabola untuk ke pusat
hiburan. Imej buruk itu disiplin itu bagaimanapun berjaya dikikis pada
tahun 1996 dan hanya gol tunggal Thailand yang menafikan Piala Tiger -
gelaran terbesar Asia Tenggara selain Sukan SEA daripada didakap Azman,
Zami, Zainal Abidin Hassan dan K.Sanbagamaran untuk pasukan negara
bimbingan Wan Jamak Wan Hassan.
Dollah Salleh memilih Azman dalam barisan penolong jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga mereka bergelar juara Liga Perdana 2014. Apabila Dollah Salleh mengendalikan skuad negara tahun lalu, Azman yang lahir 1 November 1971 dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih PDRM menghadapi Liga Super 2015.
Comments
Post a Comment